Sambutan perayaan hari raya aidiladha tahun ini pastinya disambut dengan penuh kelainan. Norma baharu yang perlu diamalkan oleh masyarakat akibat pandemik covid-19 telah menyebabkan sambutan perayaan aidiladha ini perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetap oleh kerajaan Malaysia.

Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada masyarakat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian mereka. Namun, aktiviti perarakan keagamaan, kenduri dan rumah terbuka yang membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan pematuhan SOP, masih lagi tidak dibenarkan.

Berbeza dengan sambutan perayaan aidilfitri yang lalu solat jemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat kini telah diberikan kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat.

Bagi perlaksanaan ibadah korban di Wilayah Persekutuan pula, ia hanya dibenarkan di masjid, surau atau kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa, manakala bagi negeri lain ia tertakluk kepada Majlis Agama Islam masing-masing.

Antara SOP yang ditegaskan ketika menjalani ibadah korban ialah, setiap kawasan perlu mematuhi kapasiti kehadiran seramai 250 orang. Namun bagi petugas yang mengendalikan korban, ia perlulah dihad secara nisbah, iaitu seekor lembu kepada 30 petugas sahaja.

Kehadiran 30 orang petugas ini diperlukan untuk aktiviti menumbangkan lembu, menyembelih, melapah, membahagikan daging dan menghantar kepada penerima.

Selain itu, penganjuran di setiap kawasan penyembelihan perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan terlebih dahulu bagi memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi.

Pemeriksaan suhu badan juga perlu dilakukan sebelum menjalani segala aktiviti dan kanak-kanak dibawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ketika ibadah korban dijalankan. Petugas dan mereka yang hadir juga perlu dipastikan tidak bergejala (COVID-19).

Walaupun perayaan aidiladha tahun ini disambut dengan penuh kelainan namun diharapkan umat Islam dapat menjalani tuntutan fardu kifayah tersebut dengan penuh kesyurkuran.

By, Junaidah Ayu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here